16 十月 2014

'Halo' dan implikasinya

Pernakah kita mengalami fenomena apabila kita tidak suka berkenaan sesuatu perkara yang ada pada diri seseorang itu, nanti kita juga tidak menyukai perkara-perkara lain pada dirinya?
Ataupun, apabila daripada mula kita tidak suka dengan orang itu, sampai bila-bila kita tidak suka kepadanya?

Ataupun, sewaktu kita mengisi borang penilaian prestasi kerja orang bawahan kita, kalau untuk maklumat yang pertama itu kita beri markah B, nanti banyak lagi maklumat-maklumat lain seperti itu yang kita beri markah B juga?

Pakar-pakar psikologi berfikir untuk mengenal pasti beberapa jenis kesilapan berfikir yang bersifat fitrah manusia. Kesilapan-kesilapan berfikir jenis ini dilakukan oleh semua orang, tidak kira dia seorang pemimpin ataupun seorang penarik beca. Kesilapan-kesilapan itu kita lakukan tanpa kita sedari, ertinya kesilapan ini berlaku bukan kerana kita sengaja melakukannya. Kesilapan jenis ini adalah disebabkan kelemahan manusia apabila kita membuat persepsi.

Salah satu daripada kesilapan persepsi yang selalu kita lakukan disebut dengan istilah 'kesan halo'. Perkataan halo ialah nama bagi cahaya terang yang biasanya dilukiskan di atas kepala gambar-gambar para wali Kristian.



Pernahkah kita mendengar orang berkata begini;


  • ''Budak tu bijak betul. Dia tentu rajin belajar. Di universiti pun nanti dia akan jadi mahasiswa cemerlang.''
  • ''Dia rajin datang kerja cepat. Dia tentu pekerja baik.
  • ''Dia pemimpin agama yang alim. Budi pekertinya tinggi. Dia takkan melakukan rasuah. Orang-orang dalam partinya juga takkan rasuah.''
  • ''Dia lulus ijazah ekonomi dengan cemerlang. Dia tentu akan menjadi ahli ekonomi yang baik. Seterusnya dia akan menjadi menteri ekonomi dan perdana menteri yang bijak.''

Kata-kata seperti ini menunjukkan bahawa apabila kita mula membuat satu penilaian positif ke atas sesuatu, seterusnya kita cenderung memberi penilaian-penilaian lain yang positif juga kepada perkara itu.

Sebagai contoh, apabila kita sudah membuat satu penilaian positif ke atas seseorang, seterusnya kita cenderung memberi penilaian-penilaian lain yang positif juga kepada orang itu.
Sebagai contoh, di dalam ayat (a) Budak itu bijak ialah penilaian positif Rajin belajar adalah penilaian positif. Mahasiswa cemerlang adalah penilaian positif juga.

Pemikiran seperti ini mengandungi kesilapan kesan halo. Di sini, kesilapan kita ialah, di dalam dunia sebenar, budak yang bijak tidak semestinya rajin belajar, manakala budak yang rajin belajar belum tentu bijak. Malah budak yang bijak semasa di sekolah belum tentu menjadi mahasiswa cemerlang di universiti.

Ataupun pernahkah kita berkata: ''Budak tu tak berapa pandai dalam darjah. Dia tentu malas belajar. Bila besar nanti dia takkan jadi orang yang berjaya''?

Di dalam dunia sebenar, budak yang tidak berapa pandai belum tentu malas belajar. Ramai budak yang tidak mendapat markah tinggi sebenarnya terdiri daripada mereka yang rajin belajar.

Malah ramai pelajar yang tidak berapa pandai semasa mereka di sekolah kemudiannya menjadi orang yang sangat berjaya. Sebaliknya ramai juga di kalangan mereka yang cemerlang di sekolah akhirnya menjadi orang-orang yang ''biasa sahaja'' pencapaiannya setelah mereka dewasa.



Fenomena kesan halo mengatakan, apabila sekali kita sudah mempunyai persepsi positif ke atas seseorang, walau apa pun yang dibuat oleh orang itu, kita cenderung menilainya secara positif juga, termasuklah dalam perkara-perkara yang kita tidak tahu mengenainya.

Sebagai contoh, kita melakukan kesilapan kesan halo apabila kita mengatakan begini tentang seseorang ''Dia seorang pekerja yang jujur,'' seterusnya kita mungkin berani juga berkata ''Dia tentu seorang suami yang jujur,'' pada hal kita mungkin tidak tahu apa-apa berkenaan tingkah laku orang itu sebagai seorang suami.

Kesan halo bukan hanya terjadi pada perkara-perkara positif. Ia juga berlaku secara negatif di mana apabila sekali kita sudah mempunyai tanggapan negatif berkenaan seseorang, kita cenderung membuat tanggapan negatif ke atas apa-apa yang dilakukannya. Malah perkara-perkara berkenaan, daripada orang itu yang kita tidak tahu pun akan kita nilai secara negatif. Sebagai contoh, apabila kita berkata, ''Dia gagal sebagai ketua rumah tangganya.'' kita juga berani mengatakan ''dia takkan boleh menjadi ketua di pejabatnya''. Ataupun kita berkata begini: ''buat nasi lemak pun tak pandai,'' seterusnya kita berani berkata ''inikan pula hendak berniaga restoran.''

Fenomena kesan halo boleh membawa implikasi serius ke atas orang yang dipersepsi. Sebagai contoh, apabila seseorang ketua membuat penilaian yang sangat positif ke atas sesuatu perkara berkenaan orang bawahannya, dia cenderung menilai lain-lain perkara berkenaan orang itu secara positif juga. Begitu juga sebaliknya.

Umpamanya, apabila seseorang ketua menganggap keraninya seorang yang cekap membuat kerja-kerja pekeraniannya, dia juga cenderung menganggap si kerani itu akan cekap menjalankan kerja-kerja sebagai ketua kerani. Hasilnya apabila ada kekosongan jawatan bagi ketua kerani, maka si ketua itu akan menaikkan pangkat si kerani itu menjadi ketua kerani. Padahal, peranan dan tugas seseorang ketua kerani adalah berbeza dengan tugas-tugas seorang kerani oleh itu belum tentu kerani yang cekap membuat kerja-kerja perkeranian juga akan cekap membuat kerja-kerja seorang kerani kanan. Begitulah sebaliknya.

Kesan halo menyebabkan penilaian yang kita buat ke atas berbagai-bagai aspek berkenaan seseorang itu mempunyai hubung kait yang sama tinggi ataupun sama rendahnya.

Sebagai contoh, apabila kita menilai seseorang itu sebagai seorang yang amat baik budi bahasa dan tegur sapanya, kita cenderung menilai orang itu juga amat baik dari sudut tingkah lakunya, budi pekertinya, sikapnya, nilainya, perwatakannya, disiplin dirinya dan macam-macam lagi.

Penilaian begini lazimnya salah. Umpamanya, orang yang amat baik budi bahasa dan tegur sapanya belum tentu amat baik apabila dinilai dari sudut-sudut lainnya. Fenomena kesan pertama ialah punca kepada sejenis lagi kesilapan persepsi yang sangat kerap kita alami. Apabila kita sejak mula-mula lagi sudah menyukai atau membenci seseorang kita cenderung menyukai ataupun membenci orang itu sampai bila-bila. Fenomena kesan pertama juga mempunyai kesan yang serius terhadap orang yang kita nilai.

Seperti juga halnya dengan fenomena kesan halo di tempat kerja, fenomena ini boleh menyebabkan kita membuat penilaian yang sangat tidak adil ke atas orang-orang bawahan kita. Walaupun tugas menilai prestasi orang bawahan adalah salah satu tugas penting para pengurus, tetapi lazimnya, apabila kita menilai seseorang, kita tidak menilai prestasinya berdasarkan prestasinya semata-mata. Sebaliknya, kita menilai orang berdasarkan kesan pertama yang kita alami sewaktu kita mula mengenalinya.

Sering kali prestasi seseorang itu sebenarnya sudah meningkat, tetapi peningkatan itu tidak dilihat oleh ketuanya kerana si ketua masih berpegang kepada penilaian awalnya yang berdasarkan kesan pertamanya terhadap pekerja itu. Kesilapan kesan pertama juga berlaku sebaliknya, di mana seseorang ketua membuat penilaian positif berdasarkan kesan pertamanya. Walaupun prestasi pekerja itu sudah mula menurun tetapi ketuanya tidak melihat penurunan itu. Fenomena kesan pertama tidak semesti boleh dilihat dengan jelas. Kajian yang dibuat oleh Dougherty dan rakan-rakannya mendapati pelbagai bentuk kesilapan kesan pertama yang halus. Kajian mereka mendapati apabila juru interbiu itu memberi penilaian yang tinggi kepada calon-calon sewaktu mereka baru menilai borang permohonan dan hasil ujian mereka, juru-juru interbiu itu memberi layanan yang lebih positif kepada calon-calon tersebut.

Analisis pita video rakaman interbiu menunjukkan calon-calon yang berjaya mencipta kesan pertama yang positif ke atas juru interbiu mendapat layanan yang lebih positif sepanjang interbiu mereka.

Oleh: AINON MOHD.
Artikel Penuh: 'Halo' dan implikasinya (24/7/1998) © Utusan Melayu (M) Bhd 

没有评论:

发表评论